Thursday 20 February 2014

Minit Mesyuarat

Mesyuarat Penubuhan Persatuan Bekas Pelajar Kaum India SMDR
 
Tarikh: 20 Februari 2014 (Khamis)
Masa: 2.30 – 3.45 petang
Tempat: Restoran Abhirami, SS5, Petaling Jaya
Kehadiran: Navaneethan, Uthaya Sankar SB, Thillai Kamalan, Saravanan
 
Foto-foto Pertemuan
Mesyuarat dimulakan dengan meneliti sebahagian foto yang dirakam semasa Pertemuan Bekas Pelajar Kaum India SMDR pada 15 Februari 2014 (Sabtu).
 
Ucapan Pengerusi
Saravanan M. Sinapan yang mempengerusikan mesyuarat menyatakan bahawa pertemuan melibatkan bekas pelajar dan bekas guru Sekolah Menengah Darul Ridwan (SMDR) berlaku sejak 2010; sama ada di Taiping, Kuala Lumpur atau Petaling Jaya.
 
Pertemuan Bekas Pelajar Kaum India SMDR pada 15 Februari 2014 pula memberikan semangat dan komitmen untuk menubuhkan Persatuan Bekas Pelajar Kaum India SMDR yang sebenarnya diimpikan sejak lebih 15 tahun lalu.
 
Bekas guru yang hadir pada 15 Februari 2014  ialah Balasubramaniam Kuppusamy, Sevanesen Raju, Maniappan Kandan dan Gunadevi K Jeevi Subramaniam. Bekas pelajar yang hadir ialah Datuk Dr Marimuthu Nadason, Alexander, Saravanan M Sinapan, Thillai Kamalan, Uthaya Sankar SB, Subramaniam K, P Visvanathan, Thanabalan Murugiah, Guna Sundaram, Yoganathan Subramaniam, K Sivapragash dan Kogilam Govindasamy.
 
Persatuan Bekas Pelajar SMKDR memang sudah wujud tetapi Persatuan Bekas Pelajar Kaum India SMDR secara khusus bagi bekas pelajar, bekas guru dan bekas kakitangan kaum India dari sekolah berkenaan.
 
Persatuan ini akan turut berusaha membantu pelajar kaum India yang sedang belajar di SMDR pada masa kini. Langkah ini sebagai sumbangan balas bekas pelajar kepada SMDR yang menjadi tempat menimba pelbagai ilmu pada masa lalu, khususnya menerusi Persatuan Bahasa Tamil (Perbata).
 
Sepertimana dibincangkan, ditekankan dan dipersetujui bersama semasa pertemuan 15 Februari 2014, keahlian Persatuan Bekas Pelajar Kaum India SMDR terbuka kepada semua bekas pelajar kaum India sekolah berkenaan; tanpa mengira pencapaian akademik, pekerjaan, kedudukan sosial, tempat tinggal dan sebagainya. Satu-satunya syarat yang perlu dipenuhi adalah bahawa mereka merupakan bekas pelajar SMDR (SMKDR).
 
Tujuan Penubuhan
Navaneethan mengingatkan bahawa tujuan penubuhan Persatuan Bekas Pelajar Kaum India SMDR perlu jelas supaya mudah diuruskan dan supaya tidak timbul sebarang persoalan daripada mana-mana pihak pada masa hadapan.
 
Mesyuarat berbincang dan bersetuju bahawa tujuan utama persatuan ini adalah bagi mengumpulkan bekas pelajar, guru dan kakitangan kaum India SMDR (SMKDR).
 
Selain daripada itu, persatuan ini juga dapat membantu mewujudkan rangkaian (network) antara bekas pelajar dan bekas guru yang kini terlibat dalam pelbagai bidang pekerjaan, kepakaran dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Hubungan rangkaian (networking) ini boleh dimanfaatkan demi kebaikan bersama.
 
Salah satu aktiviti tahunan yang akan diadakan adalah Pertemuan Bekas Pelajar Kaum India SMDR. Pertemuan ini boleh diadakan di Taiping, Kuala Lumpur atau Selangor mengikut kesesuaian dan persetujuan para ahli. Masa yang paling sesuai adalah pada bulan Oktober.
 
Satu lagi program yang sesuai adalah mengadakan aktiviti khusus bagi pelajar SMDR, menerusi Persatuan Bahasa Tamil (Perbata). Bagi tujuan ini, guru penasihat Perbata perlu dihubungi. Pelajar kaum India di SMDR juga akan dibantu mengikut kesesuaian dan keperluan.
 
Pendaftaran Persatuan
Mesyuarat mengakui bahawa mungkin timbul sedikit masalah teknikal dalam mendaftarkan Persatuan Bekas Pelajar Kaum India SMDR. Tambahan pula, sudah ada Persatuan Bekas Pelajar SMKDR yang terbuka kepada pelajar pelbagai kaum.
 
Antara cadangan yang dibincangkan adalah supaya pendaftaran syarikat dibuat di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang akan bertanggungjawab menguruskan Persatuan Bekas Pelajar Kaum India SMDR.
 
Pendaftaran sebagai persatuan di bawah Pendaftar Pertubuhan (ROS) pula boleh dibincangkan pada masa hadapan.
 
Wakil di Taiping
Mesyuarat memutuskan bahawa perlu ada wakil (jawatankuasa) persatuan ini di Taiping bagi memudahkan urusan; khususnya melibatkan komunikasi dengan Perbata dan SMKDR.
 
Penglibatan aktif ahli yang masih berada di Taiping juga penting bagi mengenal pasti bentuk bantuan yang boleh disalurkan kepada pelajar kaum India di SMKDR.
 
Langkah ini juga bagi memastikan bekas pelajar yang berada di Taiping berpeluang terlibat secara aktif dalam aktiviti persatuan.
 
Ke arah itu, jumlah pemegang jawatan dalam Persatuan Bekas Pelajar Kaum India SMDR akan dipastikan seimbang antara mereka yang berada di luar Taiping dan mereka yang masih berada di Taiping.
 
Jawatankuasa Persatuan
Berikut jawatankuasa yang dicadangkan bagi menggerakkan Persatuan Bekas Pelajar Kaum India SMDR.
 
Penasihat II: Datuk Dr Marimuthu Nadason
 
Presiden: Navaneethan C Arjuman
Timbalan Presiden: Saravanan M Sinapan
Naib Presiden: Alexander
 
Setiausaha: Uthaya Sankar SB
Penolong Setiausaha: Kogilam Govindasamy
 
Bendahari: Thillai Kamalan
Penolong Bendahari: P Visvanathan
 
AJK I: Thanabalan Murugiah
AJK II: Yoganathan Subramaniam
AJK III: K Sivapragash
AJK IV: Subramaniam K
 
Juru Audit I: Sevanesen Raju
Juru Audit II: Gunadevi K Jeevi Subramaniam
 
Promosi dan Publisiti
Mesyuarat turut membincangkan cara-cara mempromosi dan mempublisiti Persatuan Bekas Pelajar Kaum India SMDR bagi menarik keahlian daripada lebih ramai bekas pelajar, guru dan kakitangan SMDR (SMKDR).
 
Kesemua mereka yang menghadiri Pertemuan Bekas Pelajar Kaum India SMDR pada 15 Februari 2014 diminta menghubungi rakan-rakan lain untuk menyampaikan makluman mengenai persatuan ini. Maklumat (nama, alamat, nombor telefon, alamat e-mel) perlu dikumpulkan bagi memudahkan untuk dihubungi pada masa hadapan.
 
Blog khas yang amat mudah akan diusahakan oleh Uthaya Sankar SB bagi mendokumentasikan segala aktiviti dan perkembangan persatuan. [Pautan: www.smkdr.blogspot.com]
 
Borang keahlian dalam talian (online) akan disediakan bagi memudahkan bekas pelajar, guru dan kakitangan mengemukakan permohonan keahlian. Uthaya Sankar SB diminta menguruskannya. [BORANG KEAHLIAN DI SINI]
 
Mesyuarat memutuskan bahawa ahli tidak dikenakan sebarang yuran pendaftaran dan yuran keahlian tahunan.
 
Promosi dan siaran berita mengenai Persatuan Bekas Pelajar Kaum India SMDR akan diusahakan untuk siaran di akhbar-akhbar Tamil. Ruangan pengumuman di THR Raaga dan MinnalFM juga boleh dimanfaatkan. Saravanan, Navaneethan dan Thillai Kamalan akan menguruskannya.
 
Kemudahan khidmat pesanan ringkas (SMS) dan laman rangkaian sosial seperti Facebook juga wajar dimanfaatkan sepenuhnya dalam usaha mengesan dan menghubungi seramai mungkin bekas pelajar kaum India SMDR.
 
Pertemuan akan Datang
Pertemuan rasmi akan datang adalah pada bulan Oktober 2014. Maklumat lanjut akan dibincangkan dan dimaklumkan kepada para ahli dari semasa ke semasa.
 
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa yang dusah dilantik boleh mengadakan pertemuan, perbincangan dan mesyuarat rasmi atau tidak rasmi di Taiping atau sekitar Kuala Lumpur; mengikut kesesuaian.
 
Ucapan Penutup
Navaneethan selaku presiden melahirkan rasa gembira kerana apa yang diimpikan sejak sekian lama akhirnya menjadi kenyataan. Beliau berharap Persatuan Bekas Pelajar Kaum India SMDR akan menjadi sebuah persatuan yang aktif dan bermanfaat kepada semua.
 
Saravanan berkongsi perasaan yang sama. Beliau berharap penubuhan persatuan ini akan memudahkan bekas pelajar membantu SMDR (SMKDR) yang merupakan alma mater yang banyak berbakti kepada pelajar sejak dahulu.
 
Disediakan oleh:
Uthaya Sankar SB

Saturday 15 February 2014

Foto Pertemuan

Bekas guru dan pelajar kaum India Sekolah Menengah Darul Ridwan (SMDR) yang menghadiri pertemuan pada 15 Februari 2014. [MAKLUMAT LANJUT]